Jadikan CCTV alat pemantau keselamatan: Pakar

Jadikan CCTV alat pemantau keselamatan: Pakar

KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya kerajaan meningkatkan penggunaan kamera TV litar tertutup (CCTV) daripada alat merakam imej sahaja kepada alat pemantau keselamatan yang bermutu tinggi. Di Israel dan Amerika Syarikat, CCTV yang dipasang di lapangan terbang, pintu masuk negara, di tempat awam dan strategik digunakan sebagai alat pemantau keselamatan. Pakar matematik gunaan dan pembangun sistem, Abdul Hamid Yeop Zainuddin, berkata CCTV kini bukan sekadar merekod peristiwa malah bertindak mengikut keperluan pengguna apabila dihubungkan kepada sistem berkomputer.

Katanya, CCTV yang dipasang di lapangan terbang berfungsi untuk menapis sama ada hendak membenar masuk atau tidak warga asing. "Oleh kerana kamera CCTV yang digunakan berkualiti tinggi, imej yang dirakam boleh menunjukkan sama ada seseorang itu mencurigakan. "Pihak pemantau CCTV akan memaklumkan sebarang kecurigaan kepada pegawai Imigresen supaya membawa subjek ke bilik pemeriksaan.  "Hebatnya CCTV bukan kerana kameranya, tetapi formula matematik yang digunakan dalam sistemnya untuk membaca tulisan, memfokus sesuatu yang dikehendaki serta menganalisisi bahasa tubuh seseorang," katanya kepada BH.

BH Bongkar semalam melaporkan pelbagai pihak mempersoalkan mekanisme membuat keputusan, pembelian, pembekalan dan pemasangan CCTV berkualiti rendah di lokasi risiko jenayah, tetapi membabitkan kos yang mahal. Abdul Hamid berkata, teknologi CCTV sebelum ini dimonopoli dan menjadi rahsia negara tertentu atas alasan keselamatan dan ketenteraan dan menyekat pemindahan teknologi itu ke negara lain. "Teknologi kamera CCTV itu digunakan misalnya pada malam hari, pada dron dan jet pejuang, pada satelit, pusat keselamatan dan ketenteraan dan sebagainya," katanya.

Konsultan kualiti Sistem Keselamatan dan CCTV, Jeyaganesh Kulasingam berkata, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan digesa mengutamakan keselamatan awam dalam pembekalan CCTV di kawasan tumpuan sebagaimana teknologi pengesanan pesalah trafik yang digunakan agensi penguat kuasa. "CCTV yang ditempatkan di kawasan tumpuan awam seperti di lapangan terbang, stesen pengangkutan awam, pusat riadah dan perumahan masih berkualiti rendah dengan teknologi lapuk.  "Pihak berkuasa berkenaan perlu mengikut standard pemasangan CCTV berkualiti tinggi yang ditempatkan di lebuh raya untuk merakam wajah pesalah trafik di dalam kenderaan dengan jelas walaupun dalam keadaan hujan lebat," katanya.


Sumber:

Oleh Che Wan Badrul Alias dan Wan Noor Hayati Wan Alias - Ogos 10, 2015 @ 12:29am

bhnews@bh.com.my