CCTV `syok sendiri': Berkualiti rendah, gagal 'tangkap' pesalah

CCTV `syok sendiri': Berkualiti rendah, gagal 'tangkap' pesalah

KEBANYAKAN rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan perumahan, tumpuan awam, lokasi berisiko jenayah, premis kerajaan, perniagaan dan perbankan, didapati berkualiti rendah, yang dibekalkan dari China dan Taiwan.

 

Lebih membimbangkan, CCTV berkualiti rendah itu disifatkan `sekadar ada' dan tidak berupaya merakam lebih 70 peratus data mengenai suspek di lokasi tumpuan awam, termasuk di kawasan berisiko jenayah seperti di premis bank. Berikutan itu, pihak berkuasa sentiasa berdepan kesukaran menyelesaikan kes dengan bantuan CCTV. BH difahamkan, produk yang berkualiti rendah itu menjejaskan pengesanan, siasatan dan pendakwaan kes kerana rakaman CCTV itu gagal mengecam suspek secara teknikal.

Walau sebanyak mana CCTV ditempatkan di sesuatu premis dan lokasi, ia tidak mampu membantu pihak berkuasa kerana fungsinya hanya sekadar 'menakutkan' tetapi gagal mengheret pesalah ke mahkamah. Malah, mengikut statistik CyberSecurity Malaysia (CSM), sejak tahun 2013, sebanyak 51 kes jenayah, termasuk kes berprofil tinggi gagal dari segi teknikal ketika pihak pendakwaan menghadapkan suspek ke mahkamah.

Agensi itu dengan kerjasama polis terbabit secara langsung menjalankan analisis forensik CCTV kes jenayah berprofil tinggi, antaranya kes pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin, pada Ogos 2007 yang menjadi tumpuan awam. Naib Presiden Khidmat Tindak Balas CSM, Dr Aswami Ariffin, berkata kualiti CCTV yang rendah itu menyebabkan pakar forensik sukar mengenal pasti dan membawa penjenayah ke pendakwaan walaupun ada bukti dan saksi sokongan.

Sebagai contoh, katanya, satu kes penderaan membabitkan kanak-kanak berusia setahun yang disyaki didera pembantu rumah warga Indonesia di Tanjung Malim, beberapa tahun lalu, gagal diselesaikan berikutan kelemahan itu. "Keadaan ini menyebabkan suspek dibebaskan selepas tempoh reman tamat manakala dalam beberapa kes jenayah lain, pihak berkuasa tidak berupaya membuat tangkapan kerana kelemahan data fizikal pelaku diperoleh daripada rakaman CCTV di lokasi kejadian," katanya kepada BH.

Beliau berkata, CCTV berkualiti rendah menyebabkan suspek yang memakai topi keledar tertutup dan gelap, gagal dikesan, sebaliknya penggunaan CCTV berkualiti tinggi boleh mengecam corak atau tanda lain pada baju penjenayah dan tatu serta parut pada badan.  "CCTV berkualiti tinggi menggunakan kamera beresolusi melebihi lima mega piksel yang dihubungkan dengan sistem pengesan global (GPS), tiada had masa penyimpanan data dan boleh bertindak sebagai 'robot' yang terus merakamkan tindakan luar biasa orang ramai di sesuatu lokasi dengan menghantar amaran awal kepada pemilik bangunan atau pegawai yang menyelia CCTV secara terus.


"Berbeza dengan CCTV berkualiti rendah, ia menggunakan resolusi rendah dengan penyimpanan data terhad bagi tempoh tertentu dan gambar yang kabur," katanya. Aswami berkata, pihaknya sudah mencadangkan pengguna memasang CCTV bermutu tinggi dengan kos murah bagi memenuhi konsep Bandar Selamat selaras hasrat kerajaan, pada tahun depan.

"Kerajaan dicadangkan menetapkan satu standard dalam kualiti video CCTV tetapi yang paling penting, CSM boleh buat analisis forensik untuk lengkapkan siasatan. "CSM turut memiliki kepakaran membaik pulih data rakaman yang sudah dimusnahkan suspek di lokasi jenayah, selain meningkatkan mutu kualiti gambar sehingga 20 peratus mengikut standard ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Negara Jabatan Sistem Penyelesaian Panasonic Malaysia, Tharmaseelan Kandasamy, berkata kira-kira 75 peratus daripada pasaran sistem keselamatan dan sekuriti Malaysia dikuasai produk sekuriti dan rakaman CCTV murahan tanpa jenama.

Lebih mengejutkan, data yang dikongsi pakar keselamatan antarabangsa pada Seminar Penyelesaian Vertikal Panasonic 2015 membuktikan produk berkualiti rendah dari China dan Taiwan itu turut digunakan di syarikat perbankan, agensi insurans dan pengendali aset strategik berisiko tinggi.

Beliau berkata, lambakan produk sekuriti tanpa jenama itu membuktikan sikap pemilik premis hanya mementingkan kos dan mengabaikan keselamatan orang awam serta aset penting mereka. "CCTV tanpa jenama ini sangat murah iaitu sekitar RM200 dan kualitinya diragui kerana terbukti ada produk CCTV gagal berfungsi dan rakaman pudar selepas enam bulan digunakan. "Memburukkan lagi keadaan apabila pemilik tidak dapat menggantikannya kerana tiada lagi pembekal menyebabkan mereka terpaksa meneruskan penggunaan produk itu di premis sehingga membahayakan keselamatan orang awam.

"Ramai pakar bersependapat sistem sekuriti murahan ini tidak selamat kerana bentuk ancaman keselamatan kini sudah berubah dan penjenayah tahu cara mengelak daripada dikesan CCTV," katanya. Mengulas lanjut, Pengurus Besar, Kumpulan Pemasaran Global, Bahagian Perniagaan Sistem Sekuriti Panasonic System Networks Co, Kazunori Kamijo, berkata industri kini mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan sistem sekuriti termaju yang mampu mencegah sebelum jenayah berlaku.

Katanya, sistem sekuriti moden berupaya mengenal pasti sebarang unsur yang berisiko mencetuskan jenayah hasil kemajuan teknologi data besar yang melaksanakan analisis daripada pelbagai maklumat, termasuk senarai penjenayah dikehendaki polis. "Dengan kerjasama industri, ia boleh dibangunkan kerana kini teknologi CCTV semakin canggih dan berupaya membuat rakaman pengecaman wajah serta mengeluarkan amaran jika ia mengesan wajah penjenayah di lokasi atau ada sebarang unsur mencurigakan.

"Produk sekuriti berjenama termasuk Panasonic hanya berkongsi baki 25 peratus penguasaan pasaran dan kami kini sedia memecah monopoli produk tanpa jenama ini dengan memperkenalkan barisan penyelesaian sekuriti lengkap pada harga mampu milik," katanya.

 

Sumber:

Oleh Che Wan Badrul Alias dan Wan Noor Hayati Wan Alias - Ogos 8, 2015 @ 12:16am

bhonline@bh.com.my