CCTV berkualiti mudahkan kesan penjenayah - Penganalisis
KUALA LUMPUR: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) lebih-lebih lagi yang berkualiti memang boleh membantu pihak polis menyelesai sesuatu kes jenayah dengan segera, kata penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.
Beliau berkata, ia antara lain akan memudahkan polis memperoleh bahan bukti serta mengecam muka penjenayah terbabit. "Namun terdapat misalnya premis yang memasang CCTV tidak mengikut spesifikasi yang betul dan berkualiti sehingga sukar mengesan mereka yang menyamun premis itu," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan semalam bahawa pihak polis yakin dapat menyelesai kes tembakan ke atas seorang ahli perniagaan di Pulau Pinang pada Khamis lalu berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian.
Sumber:
- BERNAMA